Soalan Lazim

Pengenalan ringkas Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri Selangor.

Pinjaman Pelajaran ini merupakan pembiayaan pendidikan tinggi dalam bentuk pinjaman tanpa faedah.

Ia merupakan program pembiayaan pendidikan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) yang diuruskan oleh Cawangan Biasiswa dan Pinjaman Pelajaran, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

 

Adakah Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri Selangor ini dibawah Yayasan Selangor?

TIDAK. TKWBNS merupakan satu organisasi yang berasingan daripada Yayasan Selangor. TKWBNS bukan Yayasan Selangor.

TKWBNS diuruskan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan peruntukan yang diterima adalah daripada Kerajaan Negeri Selangor.

 

Berapakah kadar tajaan yang diberikan?

Kadar tajaan yang diberikan adalah mengikut peringkat pengajian. Kadar adalah sama bagi Universiti Awam dan Swasta. Berikut merupakan jadual kadar pembiayaan:

Peringkat Pengajian Kadar Setahun (RM)
Sijil 4,000.00
Diploma 4,900.00
Ijazah Pelbagai 6,500.00
Ijazah Perubatan 7,000.00

 

Bagaimanakah pembayaran kepada peminjam dibuat?

Bayaran akan dibuat sebanyak 2 kali setahun secara pengkreditan terus ke akaun Bank Muamalat peminjam.

Adalah menjadi tanggungjawab peminjam untuk membuat semua bayaran yang berkaitan seperti yuran pengajian, asrama dan lain-lain kepada IPT masing-masing.

 

Bolehkah peminjam menamatkan pembiayaan sekiranya mendapat tajaan lain?

DIBENARKAN. Peminjam perlu membuat permohonan rasmi kepada Urus Setia TKWBNS.

 

Bolehkah peminjam menerima 2 tajaan pada satu masa?

TIDAK DIBENARKAN bagi pelajar sijil, diploma dan ijazah pelbagai.

DIBENARKAN bagi pelajar Ijazah Perubatan (Perubatan, Pergigian, Veterinar) yang mendapat tajaan PTPTN sahaja. Bagi pelajar tajaan lain seperti MARA dan JPA adalah tidak dibenarkan.

 

Bolehkah saya meneruskan tajaan sekiranya bertukar kursus/ tempat pengajian/ cuti belajar?

Peminjam perlu membuat permohonan bertulis kepada Urus Setia sekiranya bertukar kursus / tempat pengajian / cuti belajar. Kelulusan untuk meneruskan/pelanjutan pembiayaan adalah tertakluk kepada pertimbangan TKWBNS.

 

Apakah yang terjadi sekiranya saya tidak membuat permohonan bagi kes di atas?

Peminjam akan dikenakan tindakan selaras dengan klausa dalam dokumen perjanjian dan akan kehilangan kelayakan untuk mendapatkan sebarang pengurangan bayaran balik pinjaman pelajaran.

 

Bilakah peminjam perlu mula membuat bayaran balik?

Bayaran balik akan dijadualkan bermula selepas 6 bulan daripada tarikh tamat pengajian.

 

Bolehkah peminjam membuat penangguhan bayaran balik?

TKWBNS akan memberi pertimbangan untuk penangguhan bagi peminjam yang melanjutkan pengajian sekiranya peminjam membuat permohonan secara bertulis (email / kaunter / surat) kepada Urus Setia TKWBNS. Permohonan perlu dilampirkan bersama Surat Pengesahan Pelajar daripada pihak universiti.

 

Bolehkan peminjam mendapatkan pengurangan untuk bayaran balik?

Pengurangan bayaran balik akan diberikan kepada pelajar yang membuat permohonan sahaja.

Pengurangan bayaran balik (dikenali sebagai Pinjaman Pelajaran Boleh Ubah) ini boleh dimohon oleh peminjam Pinjaman Pelajaran Negeri Selangor setelah TAMAT PENGAJIAN.

Kelulusan permohonan adalah tertakluk kepada dasar semasa dan pertimbangan Lembaga TKWBNS.

Mengikut dasar semasa, peminjam yang berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan dan mencapai CGPA terakhir 3.20 dan ke atas adalah layak memohon.

 

Apakah dokumen yang diperlukan untuk membuat permohonan Pinjaman Pelajaran Boleh Ubah?

Salinan Transkrip Akademik Rasmi yang telah disahkan oleh Universiti

Salinan Sijil Senat yang telah disahkan oleh Universiti

Borang permohonan Pinjaman Pelajaran Boleh Ubah boleh dimuat turun daripada portal rasmi TKWBNS (di pautan Muat Turun Borang)

 

Adakah saya akan diberikan pengurangan bayaran balik (Pinjaman Pelajaran Boleh Ubah) sekiranya saya layak tetapi tidak membuat permohonan?

Peminjam yang memenuhi syarat tetapi tidak membuat permohonan akan diminta untuk membuat bayaran penuh pinjaman. Oleh itu, peminjam dinasihatkan untuk membuat permohonan sebaik sahaja mendapat Sijil Senat dan Transkrip Rasmi (selepas majlis konvokesyen).

 

Apakah yang akan terjadi sekiranya saya gagal untuk membuat bayaran balik?

Peminjam dan penjamin akan dikenakan tindakan Senarai Hitam di pangkalan data Agensi Laporan Kredit. Senarai hitam ini akan terpapar pada rekod kewangan peminjam dan penjamin di Bank Negara.